Feeds:
Posts
Comments

Suara Merdu = Cun?

“Aku ingat nak keluar blind date hujung minggu ni…”ujar seorang sahabat yang masih single.

“Dengan siapa?” Tanya aku.

“Aku kenal dia kawan atas kawan.” Ok, maksudnya kena rekemen la ni.

“Ok ke? Kalau tak cun nanti macamana? Aku bertanya lagi.

“Entahlah. Tapi aku dah pernah call dia. Dengar suara macam cun.”

Adus! Kenaifan yang terserlah di situ. Sejak bila pula memiliki suara yang lunak bererti wajahnya juga cantik? Kalau suara tak sedap, maknanya tak cantik, begitu? Nyatalah kawan aku ini kurang pengalaman dengan perempuan. Atau mungkin kurang pengalaman membuat kesimpulan deduktif. Ramai saja orang cun yang tidak memiliki suara merdu dan begitu juga sebaliknya. Tapi dari satu sudut pula, dia menunjukkan ciri ‘innocent’ yang memang dicari sesetengah wanita. So kita tengoklah macamana. Apapun, aku beritahu, jangan terlalu mengharap. Expect the unexpected!

Pengadil dan Keadilan

England vs Jerman. Jerman sedang mendahului 2-1. Pemain tengah England, Frank Lampard melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti yang melepasi garisan gol, tapi gagal dikesan penjaga garisan.

Argentina vs Mexico. Messi menghantar bola kepada Tevez yang berada dalam kedudukan offside untuk gol pertama Argentina.

Satu dunia melihat dan mengetahui perkara sebenar yang terjadi kecuali dua orang yang paling penting; pengadil dan penjaga garisan. Tidakkah ini memalukan FIFA dan Sepp Blatter yang kelihatan begitu ‘old school’ sekali kerana tidak mahu teknologi video diperkenalkan untuk membuat keputusan-keputusan penting.

Aku kena clarify dulu, aku bukan penyokong England atau Mexico. Malah, aku memang rasa Jerman lebih baik dan lebih layak ke peringkat seterusnya berbanding England yang dibarisi pemain ‘berpengalaman’ (translate: tua) yang memang tak boleh bersaing dari segi kepantasan Jerman. Begitu juga dengan Argentina Tapi kita tetap kena adil kan?

FIFA seharusnya memperkenalkan satu undang-undang mudah iaitu membenarkan pengadil membatalkan keputusan mereka sekiranya setelah terdapat bukti-bukti yang jelas menyatakan keputusan mereka salah. Ulang tayang video juga boleh dipaparkan di skrin besar stadium sekiranya diminta oleh pengadil utama supaya keputusan yang dibuat benar-benar telus dan adil. Jadi peminat tak akan lagi mempertikaikan tentang gol atau layangan kad.

Cinta Terdesak

Semalam, aku mengharung perjalanan selama lima jam dari Seremban ke Pulau Pinang bersama seorang rakan. Perjalanan panjang lazimnya akan membuatkan aku mengantuk, akan tetapi sebaliknya yang berlaku. Topik yang kami bualkan sangat menarik sehinggakan bila sampai di Ipoh, kami macam “Eh…dah sampai Ipoh? (Tengok jam) Eh…dah tiga jam?”

Apakah topik menarik itu?

Tidak lain dan tidak bukan, cinta.

Perbualan kami tertumpu kepada seorang lagi sahabat kami. Sepanjang perkenalan aku dengannya, dia memang tidak bernasib baik dalam mencari cinta. Lalu kini muncul seorang gadis yang mengisi kekosongan hatinya. Namun semuanya berlaku terlalu cepat. Tiba-tiba sudah ‘declare’ sedangkan sahabat kami itu kelihatan belum begitu pasti.

“Great minds discuss ideas. Mediocre minds discuss events. Small minds discuss people.” Aku tahu. Tapi  tak kisahlah kau nak kata minda aku kecil. Kau suci. Mulia. Tak pernah langsung mengumpat orang. Dari perbincangan itu, timbul satu persoalan, “Sekiranya sudah tiada pilihan, wajarkah kita terima sahaja siapa-siapa yang sudi menerima kita?”

Bayangkan. Umur dah penghujung 20-an. Kalau setakat saudara-mara tak apa lagi, ini mak ayah pun dah mula mendesak dan bertanya bila lagi nak melangsungkan perkahwinan. Hidup pun terasa sunyi, apatah lagi melihat kawan-kawan seangkatan sudah menimang zuriat. Tapi calon pun tiada lagi. Apakah yang harus dilakukan?

Kalau menunggu Mr/Mrs Perfect mungkin takkan kunjung tiba. Tapi kalau telah menjalin hubungan dengan pasangan bukan pilihan utama dan tiba-tiba Mr/Mrs Perfect muncul, sudah tentu akan terkilan pula. Di manakah garis sempadan yang memisahkan antara kedua-duanya?

Piala Dunia sudah membuka tirainya.

Seperti kelazimannya, setiap kali kejohanan bolasepak paling berprestij ini bermula, pelbagai ramalan dilakukan untuk meneka-neka siapakah bakal juara. Pelbagai kaedah digunakan, daripada tekaan kosong, penggunaan khidmat bomoh, sehinggalah penggunaan perisian canggih untuk menganalisis data dan menentukan statistik kebarangkalian pemenang setiap perlawanan. Dan selalunya, kefanatikan ini sangat tinggi di kalangan kaki judi.

Bercakap tentang kaki judi, aku hairan dengan keinginan kerajaan untuk membuka lesen judi ‘halal’. Sangat tak logik. Tapi aku bukan ahli agama. Cukuplah kalau aku berpegang dan menyokong sepenuhnya pendirian yang dinyatakan Dr Asri.

Mark Twain pernah berkata, “There are three kinds of lies; lies, damned lies and statistics.” (Kredit untuk Charles Wentworth Dilke). Bagi aku, statistik hanyalah sesuai untuk menganalisa perlawanan yang sudah atau sedang berlangsung, bukan yang akan berlangsung. Aku suka huraian Nassim Nicholas Taleb tentang had statistik dan teorinya iaitu The Black Swan Theory. Kalau berminat, bolehlah dibaca bukunya. Memang menarik.

Tapi untuk aku, aku harap salah satu dari dua pasukan ini akan muncul juara kerana dua pasukan ini belum pernah memenangi Piala Dunia. Bosanlah kalau asyik Brazil, Itali dan Jerman sahaja yang menang.

Sepanyol                                                   atau                                                 Belanda

“Hg bila nk mai htq brg ni?” Mesej masuk di telefon aku. Nombornya tidak aku kenali.

Aku balas, “Huh?”

“Slh nmbq ka?” Dia respon.

“Sapa ni?” Aku bertanya semula.

Jawapannya membuatkan darah aku menyirap. “Manusialah. Ingtkn org yg aku tgg nk mai hntq brg.”

Sudahlah tak minta maaf, jawapannya pula menyakitkan hati.

“Oh…ingatkan khinzir tadi.”

Memang teringin aku menjawab begitu, tapi aku tak mahu melawan sikap biadab dengan biadab.

Aku faham dia tidak mahu mendedahkan identitinya secara semberono, tapi bukankah elok kalau dia mengakhiri ayatnya dengan,

“Maaf, mesti engkau tak kenal aku bila kau tanya macam ni. Tentu aku tersalah nombor.”

Bukankah itu lebih baik?

Sewaktu entri ini ditulis, jam sudah menunjukkan pukul 2.20 minit pagi.

Aku cuba buat ke sekian kalinya mengemaskini blog aku. Aku rasa yang ini sudah masuk tiga puluh tujuh kali. Aku buang semua entri lama. Dan jujur aku katakan, entah selepas ini, blog ini akan kembali tidak dihuni.

Aku sudah lama tidak kemaskini apa-apa. Kalau blog aku ini rumah, pasti bersawang segala penjuru. Perabot dan barang-barang sudah tentu berhabuk berlapis-lapis. Segala cerita yang pada mulanya ingin aku kongsi, aku simpan sahaja di dalam hati sehingga akhirnya cerita itu hilang dikhianati memori sendiri.

Tak mengapalah. Bukan ada sesiapa yang kisah pun.

*****

Rakyat Malaysia umumnya mengetahui cuti sekolah adalah musim mengawan bagi orang Melayu. Paling tidak minggu ini sahaja aku sudah ada lima jemputan. Campur minggu lepas dan minggu hadapan ada sekitar lima belas jemputan. Alhamdulillah, “Welcome to the Club” aku ucapkan pada rakan-rakan sekalian. Aku mohon maaf secara terbuka kepada kebanyakan yang menjemput kerana aku tidak akan dapat hadir atas sebab-sebab berikut:

1. Jarak. Jika anda berada di luar negeri tempat aku bermastautin, aku tidak akan hadir. Aku kena jimatkan kos sebagai persiapan menghadapi kenaikan harga minyak tidak lama lagi.

2. Mak. Mak aku tak sihat, jadi aku kena balik kampung tengok dia. Esok pun aku nak hantar dia berubat.

3. Sukan. Aku barangkali terlibat dengan sukan hujung minggu hadapan.

Apapun, aku mendoakan majlis yang terbaik untuk kalian. Semoga akad biar sekali lafaz, semoga kenduri makanannya cukup, semoga kenduri hari tak hujan dan semoga malam pertama dan malam-malam seterusnya indah-indah belaka.