05.11.09
Titik Waktu Di Hadapan
Bila kita ditimpa musibah, kita sering mengeluh “Kenapa ini berlaku padaku?”
Kita ini manusia yang lemah, yang hidup kita sebenarnya adalah hasilĀ titik-titik waktu yang bersambung-sambung membentuk garisan kehidupan kita. DanĀ kita hanya mampu menoleh ke belakang dan melihat titik-titik yang telah bersambung itu dan ke mana ia telah membawa kita. Kita tidak mampu melihat titik-titik yang di hadapan.
Kerana ketidakmampuan ini, maka kita sering gagal menanggapi perihal hikmah. Peristiwa yang baik diterima dengan senang hati, tetapi yang buruk dianggap suatu tragedi.
Bila kita ditimpa musibah, kita mungkin marah, benci, sedih, terseksa. Kita fikir Allah tidak sayangkan kita.
Tapi hidup ini bukanlah semata-mata apa yang kita lihat, kawan.
01.27.09
ESQ 165
Andai ditanya apakah rasanya gula, maka dengan mudah anda akan menjawab rasanya manis. Tapi bayangkan jika anda disuruh menerangkan bagaimana rasa manisnya gula pada orang yang tak pernah merasanya, maka apa yang harus anda katakan? Cara apa mahu anda ungkapkan, agar dia memahami sesungguhnya apa yang anda maksudkan?
Andai ditanya apakah rasanya jatuh cinta, maka jika kita pernah atau sedang mengalaminya, kita akan berkata ianya indah. Membahagiakan. Namun, bagaimana jika kita belum mengalaminya? Dahulu, aku ada seorang kawan karib, yang menemui cinta pertamanya sebelum aku. Lalu, saban hari, setiap kali bertemu, dia akan menceritakan kisah-kisah indah yang dilaluinya bersama sang kekasih, mengulangkan cerita yang sama berkali-kali seakan aku ini pesakit amnesia. Bosan. Namun, perasaannya hanya aku fahami setelah aku sendiri jatuh cinta.
Demikianlah. Segenap perasaan yang paling indah jarang dapat digambarkan melalui kata-kata. Perkataan hanyalah sekadar ekspresi. Bagaikan fizikal tanpa rohani. Bagaikan jasad tanpa jiwa.
Begitulah jawapan aku apabila diminta menghuraikan berkenaan kursus ESQ yang aku hadiri lewat Disember lalu anjuran pihak pengurusanku. Faedah dan nikmatnya tak mampu aku nukilkan dengan kata-kata untuk difahami oleh mereka yang tidak pernah mengikutinya. Sudah berpuluh latihan pembangunan diri yang aku sertai, namun tak ada yang setanding impaknya berbanding ESQ.
Semuanya kerana ia adalah latihan pengurusan dan kepimpinan berdasarkan konsep experiential learning. Tak ada sebarang nota ditulis, tapi inti pelajarannya ditanamkan dalam-dalam di dalam jiwa. Kerana suatu ilmu itu jika sekadar disimpan di minda akan dilupai. Tapi suatu pengalaman hebat yang membekas di hati, akan kita ingat sehingga kita mati.
Kursus ini telah membantu aku mencari jawapan untuk satu persoalan yang sudah sekian lama berlegar di fikiranku tanpa mampu aku jawab, iaitu “Untuk apa aku hidup?” Meskipun jujur, aku belum menemukan jawapan yang pasti, sekurang-kurangnya aku tahu jalan apa yang mesti aku tempuh untuk mendapatkannya.
Maka, jika ada satu kursus yang aku boleh cadangkan kepada semua orang kerana manfaatnya mencakupi segenap bidang kehidupan, rumahtangga, pekerjaan hinggalah kita bertemu dengan Maha Pencipta, inilah kursusnya.
