Sewaktu entri ini ditulis, jam sudah menunjukkan pukul 2.20 minit pagi.
Aku cuba buat ke sekian kalinya mengemaskini blog aku. Aku rasa yang ini sudah masuk tiga puluh tujuh kali. Aku buang semua entri lama. Dan jujur aku katakan, entah selepas ini, blog ini akan kembali tidak dihuni.
Aku sudah lama tidak kemaskini apa-apa. Kalau blog aku ini rumah, pasti bersawang segala penjuru. Perabot dan barang-barang sudah tentu berhabuk berlapis-lapis. Segala cerita yang pada mulanya ingin aku kongsi, aku simpan sahaja di dalam hati sehingga akhirnya cerita itu hilang dikhianati memori sendiri.
Tak mengapalah. Bukan ada sesiapa yang kisah pun.
*****
Rakyat Malaysia umumnya mengetahui cuti sekolah adalah musim mengawan bagi orang Melayu. Paling tidak minggu ini sahaja aku sudah ada lima jemputan. Campur minggu lepas dan minggu hadapan ada sekitar lima belas jemputan. Alhamdulillah, “Welcome to the Club” aku ucapkan pada rakan-rakan sekalian. Aku mohon maaf secara terbuka kepada kebanyakan yang menjemput kerana aku tidak akan dapat hadir atas sebab-sebab berikut:
1. Jarak. Jika anda berada di luar negeri tempat aku bermastautin, aku tidak akan hadir. Aku kena jimatkan kos sebagai persiapan menghadapi kenaikan harga minyak tidak lama lagi.
2. Mak. Mak aku tak sihat, jadi aku kena balik kampung tengok dia. Esok pun aku nak hantar dia berubat.
3. Sukan. Aku barangkali terlibat dengan sukan hujung minggu hadapan.
Apapun, aku mendoakan majlis yang terbaik untuk kalian. Semoga akad biar sekali lafaz, semoga kenduri makanannya cukup, semoga kenduri hari tak hujan dan semoga malam pertama dan malam-malam seterusnya indah-indah belaka.